All News

Program CSR “Free Market”, Gotong Royong Dan Taklimat Kebakaran   Anjuran Jabatan Keselamatan Di Kg. Ulu Legong, Kuala Kedua, Baling

Program CSR “Free Market”, Gotong Royong Dan Taklimat Kebakaran Anjuran Jabatan Keselamatan Di Kg. Ulu Legong, Kuala Kedua, Baling

KESELAMATAN ONLINE :   Baru-baru ini Jabatan Keselamatan dengan kerjasama Ahli Jawatankuasa Kampung Ulu Legong, Kg Ulu Legong , Baling, Kedah telah mengadakan program CSR kepada penduduk kampung tersebut pada 01 November  2019 (Jumaat) . Ini adalah di atas keprihatinan krisis kos hidup yang melanda rakyat dalam usaha mendekati kesusahan masyarakat dan menghulurkan bantuan.

Seramai 40 orang pegawai kanan dan anggota Jabatan yang diketuai oleh Pengarah Jabatan Keselamatan Lt. Kol. (B) Haji Musa Bari menyertai program ini. Uniknya program “free market” adalah ianya bukan sekadar bertujuan meringankan beban kewangan malahan ianya mempunyai dua lagi objektif utama iaitu untuk memberi taklimat tentang keselamatan kebakaran di rumah penduduk dan mengadakan gotong royong membersihkan kawasan penduduk kampung.

Lebih kurang 100 orang penduduk kampung yang terdiri dari pelbagai kategori telah menyertai program tersebut.  Pengarah Keselamatan dalam ucapan perasmiannya berharap barangan terpakai yang dibawa masih elok serta  dapat dimanfaatkan oleh penduduk disini dan tidak dibuang begitu sahaja. Beliau juga berharap akan dapat meneruskan program yang sebegini di masa akan datang dengan lebih banyak pengisian yang berfaedah. Pihak Jabatan membawa sumbangan daripada orang perseorangan memberi pakaian terpakai seperti pakaian wanita, pakaian lelaki, t’shirt untuk lelaki dan perempuan, tudung, pakaian kanak-kanak, pinggan mangkuk. Peralatan makanan yang diterima adalah seperti beras, gula, kopi, bihun, susu, roti, ubi kentang, tepung dan sebagainya. Booth2 telah disediakan dimana para penduduk beratur dari satu meja ke meja yang lain untuk mendapatkan secara percuma semua barang-barang tersebut.

Serentak dengan program free market, pengisian pihak Jabatan telah memberi taklimat tentang Keselamatan kebakaran di kawasan perumahan dan rumah penduduk setempat sebagai langkah berjaga-jaga yang boleh menyelamatkan harta benda dan nyawa insan tersayang. Taklimat di sampaikan oleh Tuan Mazlan Ismail, Penolong pegawai Keselamatan yang menerangkan tentang apa yang perlu dilakukan sekiranya berdepan dengan situasi-situasi cemas yang melibatkan kebakaran dapat mengambil langkah yang betul bagi mengawal situasi kejadian. 

Seorang penduduk tempatan yang ditemui dikenali sebagai Pak Ndak Nayan melahirkan rasa terima kasih yang tidak terhingga kepada Jabatan ini yang telah memilih kampung mereka sebagai tempat menjalankan program amal.  Ini amat bertepatan memandangkan pendapatan mereka yang bergantung kepada hasil menoreh getah tidak dapat dibuat kerana musim hujan. Sumbangan barang makanan dan kain baju yang diberikan sedikit sebanyak telah meringankan bebanan harian mereka.

Majlis berakhir dengan gotong-royong mengemas dewan orang ramai dan persekitaran kawasan kampung serta jamuan makan tengahari sebelum semua peserta  program dan penduduk kampung menunaikan solat jumaat di Masjid kampung berkenaan.

                                                                                                                                                             

”KESELAMATAN TANGGUNGJAWAB BERSAMA”

PENGARAH

JABATAN KESELAMATAN
UNIVERSITI UTARA MALAYSIA
Telefon : 04-928 3333 / 2416
Faks : 04-928 2424
E-Mel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it.