All News

Penduduk Kampung Ulu Legong Timba Ilmu Keselamatan Kebakaran

Penduduk Kampung Ulu Legong Timba Ilmu Keselamatan Kebakaran

UUM ONLINE: Penduduk Kampung Kuala Kedua, Ulu Legong Baling didedahkan dengan aspek keselamatan kebakaran dan langkah yang betul bagi mempersiapkan diri apabila menghadapi detik-detik kecemasan.

Pengarah Jabatan Keselamatan, Lt. Kol. (B) Musa Bari berkata, Jabatan Keselamatan menganjurkan Program Gotong-royong Taklimat Kebakaran dan CSR Jabatan Keselamatan UUM dengan dengan kerjasama Ahli Jawatankuasa Kampung Ulu Legong, Kg Ulu Legong, Baling.

Menurutnya, program tersebut adalah usaha untuk mendekati masyarakat dan menghulurkan bantuan UUM bukan sahaja memberi ilmu tentang kebakaran, malah turut mengadakan ‘free market’.

“Seramai 40 pegawai kanan dan anggota datang membawa hasil sumbangan daripada orang ramai sebagai tanda prihatin dan kasih sesama insan.

“Kita mengedar pakaian yang masih elok antaranya baju, t-shirt untuk lelaki dan perempuan, tudung, pakaian kanak-kanak serta pinggan mangkuk untuk dimanfaatkan penduduk,” katanya.

 

Sementara itu, Penolong Pegawai Keselamatan, Mazlan Ismail berkata, kes kemalangan yang membabitkan kebakaran sehingga mengorbankan nyawa, harta benda dan keadaan mangsa korban yang ditunjukkan amat menggerunkan.

Justeru, katanya, pendedahan tentang kepentingan serta langkah pencegahan kebakaran dan penggunaan alat pemadam api amat penting apabila berdepan dengan musibah yang tidak dijangka.

“Akibat kurangnya kesedaran terhadap langkah Keselamatan, ia akan mengundang padah apabila mereka tidak tahu cara yang betul untuk menyelamatkan diri dan menjadi panik ketika berdepan situasi mencemaskan ini yang sering berlaku sehingga mengorbankan nyawa dan harta.

“Jadi, usaha ini adalah sebagai langkah berjaga-jaga yang mampu menyelamatkan harta benda dan nyawa insan tersayang,” katanya.

Beliau berkata, orang kampung turut didedahkan dengan langkah yang betul bagi mempersiapkan diri apabila menghadapi kebakaran selain menekankan kepentingan penggunaan alat pemadam api.

Menurutnya, alat pemadam api yang disahkan sangat penting dan setiap rumah perlu mempunyai alat pemadam api supaya dapat mengawal kebakaran dalam keadaan yang tidak diduga walaupun kebakaran kecil.

Penduduk, Pak Ndak Nayan berkata, program ini tepat pada masanya memandangkan pendapatan mereka yang tidak menentu dan tiada hasil menoreh getah kerana musim hujan.

“Jadi sumbangan barang makanan dan kain baju yang diberikan sedikit sebanyak meringankan bebanan harian kami, terima kasih banyak-banyak kepada Jabatan Keselamatan yang telah memilih kampung kami untuk menjalankan program amal. 

“Banyak maklumat baru yang diperoleh menerusi taklimat yang menerangkan tentang apa yang perlu dilakukan sekiranya berdepan dengan situasi cemas yang melibatkan kebakaran dapat mengambil langkah yang betul bagi mengawal situasi kejadian,” katanya.

Tambahnya, dengan adanya program Keselamatan Kebakaran Di Kawasan Perumahan Dan Rumah Penduduk Setempat ini, penduduk mempunyai peluang untuk menyelamatkan diri dan membantu yang lain